Post by zainaljiee on Apr 13, 2009 12:50:14 GMT 7
Makan Tidak Berlebih-lebihan/Melampau.
Firman Allah (maksud):
"...dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau-lampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas." (al-'Araaf: 31
Satu lagi garis panduan yang perlu dititik berat dalam aspek makan dan pemakanan yang lebih kepada adab-adab makan ialah makan dengan sekadarnya sahaja. Tidak berlebih-lebihan sama ada dari segi penyediaan makanan (menu) mahupun jumlah (kuantiti) yang hendak dimuatkan ke dalam perut.
Malah, penyediaan menu yang terlampau banyak kuantitinya atau jenisnya dikhuatiri akan membawa kepada sikap membazir pula. Dan sifat ini disamakan dengan saudara syaitan. Firman Allah (maksud):
"Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudar-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." (al-Isra':27)
Selain itu juga ia menggambarkan agar kita menjaga pemakanan kita agar selaras dengan gizi yang diperlukan oleh tubuh badan kita bagi menentang penyakit-penyakit yang berpunca daripada pemakanan yang tidak terkawal.
Pengambilan jumlah gula yang berlebihan (melampau) boleh mengundang penyakit kencing manis atau sakit gigi.
Pengambilan lemak yang berlebihan pula boleh menyebabkan mudah mendapat sakit jantung atau darah tinggi kerana kehadiran kalestrol yang 'jahat'.
Manakala makan terlampau kenyang pula boleh menyebabkan seseorang cepat mengantuk, tidak berdaya dan senak perut. Malah dalam maksud satu hadis, Nabi menyarankan agar kita berhenti makan sebelum sampai ke tahap kekenyangan.
Untuk mengelak kita daripada makan terlalu banyak dan kekenyangan, eloklah sebelum makan kita disarankan meneguk sedikit air terlebih dahulu. Secara automatik kita akan berasa sedikit terisi perut kita dan akan mempercepatkan rasa kenyang walaupun nanti kita hanya makan sedkit makanan.
Wallahualam.
Bibliografi:
1. Najah Nadiah Amran, Pemakanan Seimbang Menurut Al-Quran dan Sunnah, majalah Anis Oktober 1999, Galeri Ilmu.
2. Al-Quran Terjemahan