|
Post by zainaljiee on May 8, 2009 8:55:23 GMT 7
HONOLULU 7 Mei - Dewan Senat Hawaii semalam meluluskan satu rang undang-undang untu menyambut 'Hari Islam', meskipun mendapat bantahan beberapa ahli dewan yang menyifatkan mereka tidak mahu memberi penghormatan kepada agama yang dikaitkan dengan serangan 11 September 2001.
Dua anggota deepwan dari Parti Replublikan itu membantah dengan alasan minoriti tersebut telah banyak membunuh orang tidak berdosa dalam serangan berkenaan.
"Saya teringat penganut Islam radikal di seluruh dunia bergembira dengan kengerian serangan 11 September. Ia adalah hari yang perlu diingati oleh orang-orang bertamadun dari semua agama," kata Senator Republikan, Fred Hemmings sambil disambut tepukan gemuruh lebih 100 orang berkumpul di Dewan Senat bagi membantah satu isu lain iaitu perkahwinan sivil sesama jantina.
Resolusi itu dilakukan bagi mengisytiharkan tarikh 24 September 2009 sebagai 'Hari Islam' setelah ia diluluskan di Dewan Senat dengan 22 undi berbanding tiga undi yang membantah. Rang undang-undang tersebut sebelum ini telah diluluskan di Dewan Perwakilan Negeri.
Rang undang-undang berkenaan antara lain akan mengiktiraf 'sumbangan agama, saintifik, budaya dan seni' yang telah dibawa Islam dan dunia Islam. 'Hari Islam' itu tidak memerlukan sebarang perbelanjaan atau sambutan yang dirancang.
"Kita adalah sebuah negeri yang bertolak ansur. Kita faham setiap orang ada kepercayaan masing-masing.
"Kita mungkin tidak bersetuju dengan semua perkara dan isu di luar sana, namun adalah satu penghinaan untuk menyuarakan pandangan dan menekankan sisi negatif kepada majoriti penganut Islam yang juga golongan yang sangat mematuhi undang-undang," kata Senator Will Espero dari Parti Demokrat.
(petikan Utusan Malaysia 8 Mei 2009)
|
|
|
Post by zainaljiee on May 8, 2009 9:04:19 GMT 7
Ini merupakan salah satu tanda bahawa Islam itu semakin diterima oleh masyarakat dunia, walaupun pada sisi yang lainnya Islam dihentam dan diasak dengan pelbagai tohmahan dan fitnah yang negatif. Adalah menjadi tugas kita setiap muslim menjaga dan memelihara Islam itu dengan baik. Malah wajib kita sebarkan keindahan islam itu kepada orang lain (non muslim) dengan akhlak yang baik. Optimislah, bahawa era kebangkitan Islam itu sebenarnya sedang berlaku kini di serata dunia. Rugi jika kita tidak termasuk dalam golongan yang menyertai / menyumbang kepada kebangkitan tersebut. Sumbanglah, walaupun hanya anda melakukan satu sunnah kecil sahaja seperti 'senyuman' kepada manusia di sekitar anda.
|
|
|
Post by ukhtihurairah on May 8, 2009 9:47:57 GMT 7
Baru-baru ini, masyarakat Kristian khususnya golongan Katolik menjadi gempar apabila The Washington Post mendedahkan bahawa terdapat trend di kalangan kaum Hispanik yang bermazhab Katolik untuk meninggalkan agama asal mereka dan memeluk Islam. Sehingga kini dianggarkan lebih kurang 40,000 orang keturunan etnik Hispanik telah memeluk agama Islam di seluruh Amerika Syarikat. Mereka telah mendirikan masjid sendiri untuk jemaah Islam Hispanik di kota-kota besar seperti Los Angeles, New York dan Washington. Apa yang memeranjatkan masyarakat Kristian ialah bagaimana orang keturunan Hispanik yang dianggap “orthodox” dalam kepercayaan agama mereka dan begitu setia kepada mazhab Katolik boleh tertarik kepada Islam. Tinjauan awal menunjukkan bahawa mereka sangat sayangkan ajaran agama tradisi dan rindukan “hubungan kerohanian yang peribadi dan langsung dengan Tuhan” tetapi menganggap gereja Katolik telah gagal memenuhi keperluan kerohanian ini. Mereka tertarik kepada Islam kerana mereka melihat Islam satu-satunya agama yang dapat memenuhi kedua-dua keperluan mereka tadi. Ajaran Islam ialah yang terhampir dengan ajaran tradisi Katolik dan pada masa yang sama ia menawarkan hubungan kerohanian langsung manusia dengan Tuhan tanpa perantaraan padri.
|
|
|
Post by zainaljiee on May 8, 2009 22:09:12 GMT 7
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Perkembangan ini sungguh menggembirakan dan menjadi bukti akan kebangkitan semula Islam ini buat kali keduanya sebelum dunia ini berakhir seperti mana yang disebutkan di dalam hadis. Situasi ini bukanlah suatu yang menghairankan jika kita menyingkap lembaran al-Quran. Sejak zaman Rasulullah lagi, Allah telah memberi jaminan bahawa golongan ahli kitab yang jujur dan ikhlas ini akan tunduk akur untuk beriman kepada al-Quran, kerasullan nabi Muhammad dan beriman kepada Allah. Firman Allah (maksud): "Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang KERAS sekali permusushannya kepada golongan yang beriman ialah orang YAHUDI dan orang MUSYRIK. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati mereka yang DEKAT KASIH SAYANG mesranya kepada yang beriman ialah mereka yang berkata:"Bahawa kami ini ialah orang-orang NASRANI" yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka PENDITA-PENDITA DAN AHLI-AHLI IBADAT , dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong. Dan apabila mereka mendengar al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad s.a.w), engkau melihat mata mereka mencucuri air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (al-Quran), sambil mereka berkata:"Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan kitab suci al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w)." (al-Maidah: 82-83) Dalam hal ini, saya berpendapat bahawa golongan ortodoks merupakan golongan kristian yang paling hampir kepada ajaran injil sebenarnya. Jiwa kerohanian mereka lebih mendekati kasih sayang mereka kepada Nabi Isa dan ibunya, Siti Mariam. Dan, pembongkaran fakta sebenar mengenai nabi Isa dan ibunya di dalam al-Quran menarik minat mereka terhadap Islam. Begitulah, kebangkitan Islam di seluruh dunia ini umpama air bah yang melanda yang tidak mampu disekat oleh benteng-benteng yang cuba dibina oleh musuh-musuh Islam. Air itu kian menaik dan akan melimpah ruah. Pihak musuh Islam sedar akan hakikat ini malah mereka juga turut mengkaji hadis tentang kebangkitan tersebut. Cuma mereka buat benteng-benteng itu hanya sekadar hendak melambatkan sahaja proses tersebut berlaku. Itu memang mereka akui. Cuma sikap degil dan keras hati menyebabkan mereka tidak mahu menerima kebenaran Islam, kecuali golongan yang benar-benar ikhlas dalam mencari damai kerohanian mereka. Insya Allah, mudah-mudahan kita nanti sempat menyaksikan sekali lagi peristiwa kemasukan masyarakat dunia ke dalam Islam secara beramai-ramai seperti yang berlaku selepas kejayaan Rasulullah membuka kota Mekah. Firman Allah (maksud): "Apabila datang pertoongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah) Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia sangat-sangat menerima taubat." (an-Nasr:1-3)
Wallahualam..
|
|